MIC Jeram Padang Tidak Releven
Sebelum era Reformasi 1998, DUN Jeram Padang tidak menjadi perhatian
penting politik apatah lagi ia berada dalam daerah pedalaman Negeri
Sembilan iaitu Jempol. Jika dari sudut pertandingan pilihanraya, ia
menjadi tempat maut kepada pembangkang dan sukar untuk ditembusi.
Mengikut kouta pembahagian kerusi BN di Negeri Sembilan, Jeram Padang
telah diperuntukan kepada MIC selain daripada Dun Port Dickson dan
Parlimen Telok Kemang. Jeram Padang juga merupakan dun yang paling
tinggi peratusan pemilih kaum India di Negeri Sembilan iaitu 36.77%,
telah menjadi kawasan selesa MIC tanpa merasa gugatan politik
pembangkang sebelum Tsunami Politik 2008.
Terbukti sejak PRU 1995, MIC cukup selesa memenangi Jeram Padang tanpa
dapat disaingi secara kuat oleh pembangkang hatta ketika era Reformasi
98, MIC masih memenangi Jeram Padang pada PRU 1999 dengan majoriti yang
besar.
Sejarah Pilihanraya
Jeram Padang diwujudkan sebagai dun sebelum PRU 1995. Sebelum itu,
beberapa daerah mengundi yang terdapat di Jeram Padang berada di Dun
Batu Kikir dan sebahagian lagi (Rompin, Bukit Pilah & Jeram Padang)
di Dun Johol. Persempadanan semula yang mewujudkan Jeram Padang
bertujuan untuk memecahkan blok-blok sokongan Semangat 46 yang telah
menggugat kedudukan selesa Umno di Batu Kikir yang menang dalam PRU 1990
dengan majoriti bawah 1500 undi sahaja.
 |
Dato Lilah Yasin
(ADUN Batu Kikir 1990-1995) |
Pilihanraya pertama di Jeram Padang adalah PRU 1995 yang menyaksikan
pertandingan tiga penjuru antara MIC-BN, DAP dan Semangat 46. Calon MIC,
M.Sundram menang dan perolehan undi sebanyak 5,552 undi (80.56%) dengan
majoriti 4,790 undi (69.50%). Manakala calon Semangat 46, Mejar (B)
Dato Haji Mohd Zain Yaacob mendapat 762 undi (11.06%) dan calon DAP,
P.Ramakrishnan mendapat 578 undi (8.39%). Pengaruh pembangkang khususnya
Semangat 46 merundum ketika PRU 1995 dan telah menyaksikan kebanyakan
tempat pertembungan sesama pembangkang. Situasi tersebut telah
menjadikan kedudukan BN cukup selesa memenangi pilihanraya tanpa saingan
kuat pembangkang.
Era Reformasi
Kehangatan gelombang Reformasi 98
tidak begitu merebak secara besar-besaran di Jeram Padang sebagaimana
yang diterima dan dialami di Telok Kemang, Seremban, Rasah dan Kuala
Pilah. Ia seolah-olah terpingir daripada arus sebaran maklumat mengenai
kebangkitan gerakan Reformasi 1998.
 |
| T.Rajagopalu |
Hasilnya dalam PRU 1999, MIC tetap memenangi Jeram Padang dengan
majoriti yang selesa walaupun berlaku kemerosotan 10% perolehan undi
popular berbanding PRU 1995. Kemerosotan itu diyakini datang daripada
peralihan undi pemilih Melayu kepada calon Keadilan ketika itu.
T. Rajagopalu menang dengan majoriti 2,784. Perolehan undi beliau ialah 4,848 undi (70.14%).
Calon Keadilan bagi Jeram Padang ketika itu adalah mantan Pengerusi
Keadilan Negeri Sembilan iaitu Ibrahim Yusof, yang mendapat perolehan
undi popular sebanyak 29.86% (2,064 undi). Undi dari daerah mengundi
Pasir Besar yang banyak diterima oleh calon Keadilan.
PRU 2004
Ketika ini prestasi Barisan Alternatif telah merudum dipengaruhi oleh
faktor perubahan kepimpinan negara setelah Abdullah Haji Ahmad Badawi
mengambilalih jawatan Perdana Menteri daripada Mahathir Mohamed pada
Oktober 2003. Paklah tidak menunggu tempoh yang lama untuk mendapatkan
mandat baru dari rakyat dan telah mengadakan PRU 2004 pada 21 Mac 2004.
Ketika ini, kemenangan MIC di Jeram Padang memuncak apabila calonnya
Krishnan A/L Letchumanan (gambar kiri) memperolehi sebanyak 5,023 undi
dengan undi popular 83.94% mengatasi pencapaian undi popular PRU 1995.
Calon Keadilan, Raja Gopal A/L Somoo hanya mendapat 939 undi (15.69%)
sahaja. Ia jelas memperlihatkan momentum sokongan seluruh lapisan kaum
memberi sokongan yang agak tinggi kepada kepimpinan Paklah.
Tsunami Politik 2008
Ombakan politik yang berlaku pada 8 Mac 2008 lalu benar-benar memberi
kesan meluas kepada seluruh kawasan campuran seluruh negara termasuk
Jeram Padang.
Kali ini, kedudukan MIC selaku pemenang mutlak pilihanraya di Jeram
Padang tergugat. Ia bukan lagi menjadi kerusi selamat untuk MIC. PRU
2008 lalu turut menyaksikan dua kawasan lain yang ditandingi oleh MIC
tewas di tangan Pakatan Rakyat. Parlimen Telok Kemang dan DUN Port
Dickson telah dimenangi oleh Keadilan. Hanya Jeram Padang yang
terselamat daripada ombakan politik tersebut namun kedudukan selesa MIC
kini mampu disaingi pembangkang.
Pada PRU 2008 lalu, calon MIC V.S Mogan memenangi DUN ini dengan
majoriti 1,808 undi. Beliau mendapat 4,185 undi (63.78%). Calon
Keadilan K.Manoharan memperolehi 2,377 undi (36.22%). Ia merupakan
peralihan (swing) sebanyak 20.53% undi kepada Keadilan. Satu peralihan
undi yang cukup tinggi kepada mana-mana pembangkang yang pernah
bertanding di Jeram Padang.
Kemenangan MIC pula dibantu oleh undi-undi pemilih Melayu dari daerah
mengundi Palong Satu & Dua dan Bukit Rokan Barat yang ketiga-tiga
kawasan ini adalah 90 peratus pemilih Felda. Manakala kemenangan bagi
Keadilan berlaku di beberapa kawasan campuran dan majoriti pemilih
India.
Potensi PR
Melihat kepada kesan ombakan politik Mac 2008 itu, PR khususnya Keadilan
dilihat mempunyai peluang mencapai kemenangan pada PRU-13 akan datang
di Jeram Padang. Namun begitu, apakah pemilih India masih mengekalkan
sokongan sebagaimana PRU 2008 atau telah kembali kepada BN atau kian
meningkat kepada PR?
Jika gerakan menembusi kawasan Felda yang digerakkan secara aktif oleh
Keadilan Negeri Sembilan sejak tahun 2009 lalu diambilkira, besar
kemungkinan akan berlaku peningkatan undi kepada Keadilan daripada
kawasan-kawasan Felda di daerah mengundi Palong 1 & 2. Namun begitu,
Keadilan juga masih sukar untuk menembusi kawasan Bukit Rokan Barat.
Kawasan inilah yang memberi kemenangan kepada VS Mogan. Hampir 90
peratus undi dari Bukit Rokan Barat memihak kepada BN. Sudah pasti BN
khususnya MIC akan cuba mengekalkan sokongan kawasan tersebut.
Sebelum ini telah dikhabarkan bahawa beberapa parti lain turut berminat
untuk meletakkan calonnya di Jeram Padang seperti Human Right Party
(HRP) dan Parti KITA. Kali ini, Jeram Padang telah menjadi titik penting
dalam peta politik negara khususnya di Negeri Sembilan.
Seandainya sokongan pemilih India mampu dikekalkan sebagaimana PRU 2008
disamping lonjakan 80 peratus sokongan pemilih Cina, kemenangan mampu
dijanakan oleh PR dengan meningkatkan sekurang-kurangnya 36 peratus
sokongan pemilih Melayu.
Gerakan membela warga peneroka akibat penindasan Felda yang dijalankan
oleh Warga Felda Perihatin dan ANAK secara aktif dan berterusan di
seluruh Jempol memungkinkan berlaku anjakan sokongan kepada PR.
Pertelingkahan dalaman MIC Negeri Sembilan kerana perebutan untuk
menjadi calon di Jeram Padang tidak lagi menjadi rahsia parti tersebut.
Umum telah mengetahuinya. Sebagaimana Umno, PRU-13 kali ini akan menjadi
pentas hidup mati MIC dalam arena politik tanahair.
Andaian Kemenangan Penulis:
PR: 52%
BN: 48%