Laporan Khas : GATCO
TERIMA KASIH YAB DSU HAJI MOHAMAD HAJI HASAN
Namun baca Kronologi Isu Tanah Ladang GATCO
Serah kembali tanah ladang kami!
SEREMBAN: Seramai 150 peneroka Kampung Serampang Indah dari Serting
hari ini ( 28 Mac 2012 ) mengadakan demonstrasi secara aman di hadapan Pejabat Menteri
Besar Negeri Sembilan, Dato’ Mohamad Hasan di sini bagi mendesak campur
tangan beliau agar memulangkan semula tanah perladangan mereka secepat
mungkin.
Mereka yang turut mewakili 250 peneroka yang lain berjumpa Menteri
Besar di Balai Pengawal pejabat beliau. Mereka menyerahkan memorandum
meminta Mohd Hasan berunding dengan syarikat Thamarai Holding Sdn Bhd
agar tanah perladangan mereka dapat dikembalikan semula kepada
keseluruhan 400 peneroka di Kampung Serampang Indah tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Peneroka Kampung Serampang Indah
(Gatco), Abdul Rahman Ali Mohamad, 60, menjelaskan kronologi masalah
yang membelenggu 400 peneroka terbabit timbul sejak 35 tahun lalu.
“Peneroka di sini membeli tapak kediaman seluas satu ekar dan tanah
perladangan seluas 10 ekar daripada syarikat Gatco pada tahun
1977. Peneroka Bumiputera membayar RM4,000 manakala peneroka bukan Bumiputera membayar RM7,600.
“Pada tahun 1983, syarikat Gatco memperbaharui perjanjian dan
melakukan pengubahsuaian dan keluasan tanah perladangan dikurangkan
kepada lapan ekar.
“Gatco membuat pinjaman dengan dua buah institusi kewangan iaitu
United Asian Bank dan Nederlandse Financierings-Maatschappijvoor
Ontwikkelingslanden.
Bertolak dari masalah pengurusan, syarikat Gatco diisytiharkan muflis
pada tahun 1996. Sepanjang tempoh ini peneroka gagal mendapat geran
hak milik.
Tanah perladangan dilelong

“Pada tahun 2004 tanah perladangan ini dilelong. Kami bersedia
membeli tanah perladangan ini melalui koperasi dan kami telah membayar
deposit sebanyak RM320,000.00 (earnest deposit) kepada Tetuan Singam
and Young (Pelelong).
“Apabila kami ingin membuat bayaran peringkat kedua, pihak pelelong
tidak mahu menerima bayaran dari kami atas alasan kami tidak mampu untuk
menyelesaikan keseluruhan lelong tersebut.
“Seterusnya tanah perladangan ini ditawarkan kepada Thamarai Holdings Sdn Bhd dengan harga RM16 juta.
“Persoalannya kenapa pihak pelelong tidak meneruskan urusan lelongan
dengan kami. Jika kami gagal membayar baki RM16 juta dalam masa yang
ditetapkan, mereka boleh batalkan urusan ini,” jelas Abdul Rahman.
Abdul Rahman berkata mereka sanggup membeli tanah mereka pada harga
RM18 juta dari Thamarai Holdings dan memohon jasa baik Menteri Besar
dan Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan (PKNNS).
Kuasa MB
Tetapi selama ini Menteri Besar dan PKNNS tidak mahu membantu mereka walaupun kuasa tanah terletak di bawah Menteri Besar.
Seorang lagi wakil peneroka Kampung Serampang Indah, C John pula
berkata keadaan semakin meruncing apabila Thamarai Holdings sudah
membawa masuk jentera dan jentolak untuk membersihkan tanah ladang
(pokok getah) mereka.
“Masalah kami sudah berlanjutan selama 35 tahun. Ahli Dewan Undangan
Negeri (Adun) Sungai Lui, Datuk Zainal Abidin Ahmad pernah berjanji
untuk membawa masalah kami kepada perhatian Menteri Besar namun sehingga
ke hari ini janji tinggal janji.
“Oleh yang demikian pada hari ini kami datang ramai-ramai untuk
meminta Menteri Besar campur tangan dalam masalah tanah ini dan
berunding dengan Thamarai Holdings agar kami mendapat semula hak kami.
“Kami sanggup membeli balik dari Thamarai Holdings dengan harga RM18 juta.
“Sebelum ini Thamarai Holdings bercadang menjual tanah kami kepada
kami pada harga pasaran iaitu dari RM25,000 hingga RM30,000 seekar
sedangkan mereka membeli tanah kami dengan harga RM4,000 seekar.
“Kami memberikan masa tujuh hari kepada Menteri Besar dan jika beliau
gagal selesaikan masalah ini, kami akan membawa masalah ini kepada
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Kami tidak teragak-agak untuk membuat bantahan di hadapan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya”, kata John.
Orang tengah
Sementara itu drama demonstrasi aman dan penyerahan memorandum ini tidak berakhir apabila Mohamad Hasan ketika menerima memorandum berkata bahawa beliau akan menjadi orang tengah dalam masalah ini dan akan cuba berunding dengan Thamarai Holdings
Bagaimanapun selepas Mohamad Hasan menerima memorandum tersebut dan
ketika baru meninggalkan peneroka terbabit terdengar laungan agar
Mohamad Hasan menyelesaikan masalah ini dengan segera dari luar pagar
oleh Adun Senawang dari DAP, P Gunasekaran.
Mohamad Hasan kembali semula ke Balai Pengawal dan berkata bahawa
beliau tidak akan membantu peneroka sekiranya pembangkang campur tangan
dalam isu ini.
Ini memaksa Abdul Rahman dan John menjelaskan kepada Mohamad Hasan
bahawa isu ini tidak ada kena mengena dengan pembangkang dan ini
merupakan masalah peneroka semata-mata.
Tanah milik syarikat swasta
Dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Exco, Mohamad Hasan berkata
masalah yang dihadapi oleh penduduk di tanah ladang ini sebenarnya bukan
masalah kerajaan negeri.
“Tanah tersebut bukan milik kerajaan negeri sebaliknya milik syarikat
swasta yang membeli tanah ladang itu melalui lelongan awam yang dibuat
di mahkamah.
“Syarikat Thamarai Holding membeli tanah tersebut melalui lelongan
awam dan kerajaan negeri tidak pernah menjual tanah tersebut kepada
syarikat itu kerana segala urusan jual beli serta lelongan dilakukan di
mahkamah dan tiada kaitan dengan kerajaan negeri.
“Walaubagaimanapun kita akan berusaha berbincang dengan Thamarai
Holdings bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuk kedua-dua
pihak.
“Peneroka ini jangan terpengaruh dengan pihak lain yang cuba menghuru-harakan keadaan agar menjadi lebih sensasi.
“Saya pasti ada pihak lain yang cuma mempengaruhi peneroka dan
membuat dakwaan bahawa kerajaan negeri yang jual tanah ladang itu
kepada pihak luar sedangkan itu tidak betul.
“Janganlah terpengaruh dengan anasir luar. Siasat dulu dan faham
betul-betul apa yang sebenarnya berlaku kerana masalah ini bukan satu
perkara yang baru”, ulas Mohamad Hasan.
Sumber
1.Keluhan Pekerja Ladang N.Sembilan 18 Dec 2007
Sumber
Orang N.Sembilan sendiri ramai tidak tahu dimana letaknya Ladang Gatco.
Ladang Gatco atau Kampung Serampang Indah terletak jauh di pedalaman di
daerah Jempol. Terdapat lebih kurang 100 keluarga Melayu, 20 keluarga
Cina dan 200 keluarga India di sini. Rata-rata mereka adalah peneroka
dan pekerja ladang dan telah menetap di sini sejak berpuluh-puluh tahun.
Masalah
besar yang mereka hadapi ialah mereka belum mendapat hak milik tanah
dan mereka menunggu untuk dihalau keluar kerana mengikut ceritanya
pemilik ladang telah tidak mampu membayar pinjaman bank sebanyak RM 16
juta.
Setelah bermacam-macam janji oleh wakil rakyat, kerajaan
negeri dan kerajaan pusat sejak lebih 5 kali pilihanraya umum diadakan
dengan memberi jaminan masalah tanah mereka akan diselesaikan, mereka
sudah putus harapan.
Akhirnya pada 17 Disember 2007 Ketua
Cawangan UMNO , AJK-AJK dan ahli-ahli UMNO di Gatco , Jempol telah
mengisytiharkan keluar parti kerana tidak percaya lagi dengan dasar
perjuangan UMNO yang membela nasib rakyat.
Tidak pula dinyatakan
samada mereka masuk PAS, PKR atau DAP. Mesej mereka ialah mereka sudah
kecewa dengan UMNO serta Barisan Nasional kerana menanggap bahawa
pekerja ladang yang jauh di pedalaman ini tidak perlu diberi perhatian.
Majlis
perisytiharan keluar UMNO tersebut telah dihadiri oleh bukan sahaja
keluarga Melayu dari Gatco malah keluarga India dan Cina, kerana nasib
pekerja ladang Kampung Gatco sekarang ini tidak mendapat perhatian yang
sewajarnya dari pemimpin Barisan Nasional termasuk dari MCA, Gerakan dan
MIC.
Sdr Zulkefly Mohamed Omar , Pesuruhjaya PAS N.Sembilan yang
dijemput hadir dalam majlis tersebut menyatakan keutamaan sekarang
bukanlah untuk mengajak mereka menyertai PAS atau lain-lain parti
pembangkang. Tetapi keutamaan sekarang ialah mempastikan pekerja ladang
ini yang terdiri dari kaum Melayu, India dan Cina mendapat pembelaan
yang sewajarnya, kerana adalah menjadi hak mereka sebagai peneroka tanah
untuk mempertahankan tanah mereka, dan mereka adalah merupakan warga
negara Malaysia yang sah. Sekiranya kerajaan sanggup membayar ganti rugi
beratus-ratus juta ringgit kepada pihak swasta kerana penangguhan
kenaikan tol, pembatalan projek jambatan bengkok dan sebagainya, apalah
sangat RM 16 juta untuk menyelamatkan beratus-ratus keluarga pekerja
ladang yang juga merupakan rakyat Malaysia
2. Penduduk Kg. GATCO Hilang Kepercayaan Terhadap UMNO / Barisan Nasional 1 Jan 2008
Pada 1 Januari 2008 hari Selasa yang lalu
Pengerusi JKKK Kg. Gatco dan seluruh AJK serta penduduk Kg. Gatco telah
menjemput Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan bersama-sama dengan AJK PAS
Negeri Sembilan dan PAS Kawasan Jelebu untuk menghadiri mesyuarat
penubuhan Jawatankuasa Bertindak Kg. Gatco Untuk Menangani dan
Menyelesaikan Masalah Pemilikan Tanah Penduduk.
Parti
Islam SeMalaysia (PAS) telah diwakili oleh Saudara Zulkefly Mohamad
Omar Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Cikgu Hassan Taha Ketua Penerangan
PAS Negeri Sembilan, Tuan Haji Kateran Marman Timbalan Pesuruhjaya 1
PAS Negeri Sembilan merangkap Pemangku Yang Dipertua PAS Kawasan Jelebu,
Tuan Haji Hassan Abdul Rahman Bendahari PAS Kawasan Jelebu, Saudara
Saiful Bahri Jaaman Setiausaha Jabatan Pilihanraya PAS Kawasan Jelebu,
Saudara Nor Anif Haji Selamat Penolong Setiausaha PAS Kawasan Jelebu dan
Tuan Haji Ismail Akup AJK PAS Kawasan Jelebu.
Dalam
mesyuarat tersebut Saudara Zulkefly Mohamad Omar dan Tuan Haji Hamran
Mohamad Pengerusi JKKK Kg. Gatco merangkap Ketua UMNO Cawangan Kg. Gatco
telah dilantik sebagai Pengerusi Bersama Jawatankuasa Bertindak. Encik
Mohamad Nordin Bin Ahmad Bakar Setiausaha UMNO Cawangan Kg. Gatco telah
dilantik sebagai Setiausaha Badan Bertindak.
Dalam
mesyuarat itu juga Tuan Haji Hamran Mohamad telah menyerahkan dokumen
perjanjian pemilikan tanah Kg. Gatco kepada Saudara Zulkefly Mohamad
Omar Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan untuk dirujuk dan dikaji oleh PAS
Negeri Sembilan dan juga peguam-peguam PAS supaya tindakan yang tersusun
dapat diambil dalam membuat tuntutan tersebut.
Encik
Mohamad Nordin dalam mesyuarat tersebut menyatakan bahawa selepas
berita penduduk Kg. Gatco keluar dalam akhbar HARAKAH menderu-deru
pemimpin UMNO dan Jabatan Kerajaan datang ke Kg. Gatco untuk bertanyakan
tentang masalah yang dihadapi oleh penduduk Kg. Gatco. Sebelum ini
mereka semua menyepikan diri dan langsung tidak memperdulikan nasib atau
masalah pemilikan tanah yang dihadapi oleh penduduk Kg. Gatco, kata
beliau.
Antara
yang baru datang berjumpa beliau untuk bertanyakan masalah ini adalah
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jelebu Encik Yunus Rahmat dan juga Naib
Ketua UMNO Bahagian Jelebu yang juga ADUN Klawang YB Jalaludin Alias.
Sebelum ini mereka langsung tidak pernah bertanyakan masalah penduduk
Kg. Gatco ini kata beliau lagi. Yang paling menghairankan kata beliau
mereka telah datang berselang hari, Yunus Rahmat datang berjumpa beliau
pada 28 Disember 2007 manakala YB Jalaludin pula telah datang pada 29
Disember 2007.

Menurut Encik Mohamad Nordin pelbagai janji baru telah
ditaburkan oleh mereka tetapi semua itu palsu semata dan hanya janji
UMNO/BN untuk pilihanraya yang sudah hampir tiba ini sepertimana yang
telah berlaku selama 30 tahun dan dalam 5 pilihanraya yang lalu dimana
ia telah dijadikan manifesto oleh UMNO/BN Negeri Sembilan untuk
menyelesaikan masalah pemilikan tanah penduduk Kg. Gatco. Menurut kata
Encik Mohamad Nordin lagi beliau tidak dapat lagi mempercayai kata-kata
manis janji pemimpin UMNO/BN, setelah 30 tahun mereka diperlecehkan dan
dibohongi oleh UMNO/BN semata-mata untuk mendapat undi pilihanraya.
Selepas pilihanraya mereka hilang dan janji hanya tinggal janji sahaja
katanya.
Menurut
Encik Sulaiman Bin Ompong Timbalan Ketua UMNO Cawangan Kg. Gatco
sekarang ini seluruh penduduk kampung telah bersatu di bawah
Jawatankuasa Bertindak Kg. Gatco ini dan berharap Jawatankuasa Bertindak
ini dapat menyelesaikan isu pemilikan tanah penduduk kampung. Jika
perkara ini dapat diselesaikan maka penduduk Kg. Gatco sendiri yang akan
mendapat keuntungan dan habuannya.
3.Rakyat Tagih Janji Hak Milik Tanah - Sinar Harian 15 April 2010
SERAMPANG INDAH (Jempol, N.Sembilan) – Penduduk masih menagih
jawapan pihak berkaitan mengenai hak milik tanah kebun mereka sejak 20
tahun lalu.
SEKALIPUN SUDAH EMPAT KALI PILIHAN RAYA, NAMUN SEHINGGA KINI HAK PENDUDUK MASIH MENJADI TANDA TANYA.
Bekas
Ketua Kampung, Abd Rahman Ali Muhamad berkata, semua pemimpin kerajaan
di peringkat bawahan seperti Pejabat Daerah atau tertinggi di Jabatan
Perdana Menteri sedia maklum mengenai masalah penduduk Kampung Gatco.
Menurutnya, peserta generasi pertama dan kedua berharap tanah kebun di-perjuangkan menjadi hak milik mereka.
“Kami
hanya meminta Gagasan 1Malaysia dicanangkan ke seluruh negara, rakyat
didahulukan dapat direalisasikan di kawasan ini kerana surat makluman
daripada setiausaha Datuk Seri Najib ketika menjadi Timbalan Perdana
Menteri masih kami simpan,” katanya.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa
Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Sulaiman Ompong berkata,
pelbagai media pernah datang ke kampung ini membuat liputan berhubung
masalah dialami.
Menurutnya, Kampung Serampang Indah atau Gatco
di bawah kawasan Parlimen Jelebu, tetapi di bawah pentadbiran daerah
Jempol dan perkara itu tidak seharusnya menjadi alasan dalam memberikan
kata putus mengenai hak penduduk.
“Penduduk di sini datang dari
seluruh Semenanjung dengan hasrat memiliki tanah sebagai meneruskan
kehidupan dan membesarkan anak serta mengharapkan keprihatinan kerajaan
menyelesaikannya,” katanya.
N Venugopal, 64, berkata, sebanyak RM7,600 dibayar kepada pengurusan ketika mula memasuki penempatan itu sekitar 1977.
Menurutnya,
surat perjanjian memasuki ladang dan resit asal masih disimpan untuk
menepis kenyataan dia adalah pendatang asing di kampung berkenaan.
“Harapan saya supaya memperoleh tanah hasil kudrat dan titik peluh saya sendiri setelah sekian lama berbakti,” katanya.
Atan
Warsan, 72, adalah antara generasi pertama yang sentiasa menantikan
jawapan mengenai kedudukan sebenar tanah kebun hasil usahanya bersama
300 peneroka asal lain.
Atan berkata, ramai rakannya meninggal
dunia dan waris mereka ditinggalkan dengan tidak menge-tahui tentang
status tanah terbabit.
Menurutnya, jawapan pemimpin hanya akan
di-peroleh menjelang pilihan raya dengan janji akan menyelesaikan
masalah penduduk di sini, namun akhirnya hanya tinggal janji sahaja.
“Saya
tidak jamin masyarakat di sini akan memilih wakil kerajaan sama setelah
empat kali dike-cewakan melalui satu kertas undi setiap orang tanda
kesetiaan, namun ternyata sia-sia,” katanya.
Terasa dianaktirikan

Bekas
Ketua Wanita, Zainab Lasim berkata, hidup penduduk di sini banyak
bergantung kepada hasil kebun diusahakan sejak 30 tahun lalu.
Menurutnya,
alasan masalah itu sukar diselesaikan kerana disebabkan majoriti
penduduk adalah kaum India tidak boleh diterima kerana mereka juga
warganegara Malaysia dan berhak mendapatkan hak sewajarnya.
“Kami
tidak tahu bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah ini sekiranya
kerajaan tidak dapat menyelesaikannya dan memberikan jawapan sebenar
supaya tidak berasa dianaktirikan sesiapa,” katanya.
Bekas Ketua
Pemuda Cawangan, Muhamad Kamisan berkata, penduduk telah melakukan semua
langkah dan perlu dilakukan sama ada dengan cara diplomasi atau politik
dalam mendapatkan hak mereka.
Menurutnya, kebimbangan semua
peserta di sini hanyalah kepada masa hadapan generasi akan datang untuk
meneruskan kehidupan dan jalan penyelesaian isu itu akan menjadi lebih
sukar.
“Penduduk semakin meningkat dan generasi pertama ramai
sudah tiada cuma yang tinggal hanya hara-pan serta impian memiliki tanah
sendiri untuk diusahakan waris,” katanya.
Nordin Ahmad Bakri,
52, berkata, segala penat lelah dan usaha penduduk mendapatkan hak
umpama tiada harga di mata pihak berkuasa.
“Sebarang urusan atau
keputusan seharusnya me-ngambil kira hak peserta ladang ini dan pintu
rundingan sentiasa dibuka untuk menyelesaikan masalah ini.
“Sebanyak
693 pengundi berdaftar di kampung ini dan 242 adalah keahlian tetap
kerajaan pada masa kini berharap sesuatu dapat dilakukan segera dengan
berlandas kebenaran,” katanya.
Sementara itu, terbaru, ladang
seluas 400 hektar terbakar sekali gus mengakibatkan banyak kerugian
kepada penduduk, pengu-saha dan peserta ladang.
MDJ akan siasat masalah berlarutan sehingga 20 tahun itu telah dipanjangkan kepada Majlis Daerah Jempol (MDJ).
Pegawainya, Datuk Mohd Yusof Yunus berkata, pihaknya sedia maklum dan sedang meneliti sejarah kes berkenaan.
“Kita
sedia maklum masalah ini dan sedang menyiasat sejarah kampung terbabit.
Dalam pada itu, diharap penduduk terlibat dapat bersabar,” katanya.
Dan Akhirnya... 13 Julai 2012
Hasil rundingan, Thamarai Holding setuju bagi tanah kepada peneroka asal –Menteri Besar
SUNGAI LUI, 13 Julai – Satu keputusan dan formula penyelesaian kemelut status tanah di Kampung Serampang Indah, yang dimiliki oleh Gatco satu ketika dahulu, akhirnya dapat diselesaikan Kerajaan Negeri melalui perundingan dengan tuan tanah baru iaitu Thamarai Holding Sdn Bhd (TH).

Perundingan harmoni yang kerap dilakukan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan bersama wakil Thamarai Holding berakhir di mana peneroka asal, pewaris peneroka asal dan pembeli yang membeli tanah kepada peneroka asal mendapat pemilikan tanah masing-masing.
Di dalam ucapannya, beliau berasa amat bersyukur akhirnya kemelut status tanah ini selesai dengan baik sambil menegaskan penduduk seharusnya faham status tanah yang gagal diuruskan oleh pihak Gatco dan tidak guna terpengaruh dengan agenda pihak yang mempunyai kepentingan politik.
Katanya lagi, “sehingga ianya melalui beberapa proses lelongan dan pemilik bertukar ganti, dan isu di bawa ke mahkamah tinggi, namun masalah ini tidak dapat diselesaikan sehingga tanah ini diambil oleh Dana Harta secara sah dan termaktub di dalam perundangan Negara.”
“Kemudiannya di beli secara lelongan awam oleh syarikat Thamarai Holding Sdn. Bhd. yang berorentasikan perniagaan dan Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa mengarah apabila peneroka asal menuntut hak terhadap tanah seperti yang terkandung pada perjanjian asal bersama Gatco.” Ujarnya.
“Namun apa yang penting, peneroka asal dan waris perlu berasa bersyukur dan berterima kasih kepada TH kerana telah bersetuju dan menyelesaikannya secara harmoni dengan memberi 4 ekar tanah secara percuma kepada peneroka asal. Manakala pembeli yang membeli kepada peneroka asal pula mendapat 2 ekar tanah.” Tegas Menteri Besar lagi.
“Jika TH menjual tanah tersebut mengikut harga pasaran, harga yang perlu dibayar mereka ialah RM30,000 seekar tanah. Maka kiralah untuk 8 ekar tanah, jika itu yang mahu dituntut sebahagian peneroka.” Sambung beliau lagi.
Penyelesaian ini diungkapkan beliau di Dataran Tabika Kemas, Kampung Serampang Indah ketika sesi lawatan kerjanya di sini, pagi tadi.
Menteri Besar turut menasihatkan peneroka asal serta waris agar bersetuju dengan perundingan dan keputusan bersama Kerajaan Negeri yang sentiasa fokus kepada kesejahteraan rakyat manakala pihak Thamarai Holding pula sanggup mengetepikan keuntungan mereka.
Sebanyak 182 keluarga peneroka asal, 109 pewaris peneroka asal, 61 keluarga membeli tanah melalui waris dan 45 waris yang tidak tinggal di sini menerima faedah perundingan Kerajaan Negeri dan pihak TH tersebut sekaligus berakhirnya kemelut tanah sejak lebih 30 tahun lalu.
Menurut Menteri Besar lagi, pengagihan tanah akan dibuat secara undian di bawah Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Dato’ Zainal Abidin Hj Ahmad, ADUN Kawasan Sg Lui.
Bersama lawatan kerja Menteri Besar, Dato’ Abdul Razak Mansor, YDP Speaker DUN, Dato’ Hj Mat Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Zainal Abidin Hj Ahmad, ADUN Kawasan Sg. Lui, En. Papiyah a/l Rajamian, wakil kaum India Kampung Serampang Indah, En. Hamrah Hj Mohamad, Pengerusi JKKK Kampung Serampang Indah.
TERIMA KASIH YAB DSU HAJI MOHAMAD HAJI HASAN
#JanjiDitepati
Teruskan Perjuangan...